Perkara yang paling membuatku bahagia


Perkara yang paling membuatku bahagia, ialah apabila dia dekat denganku. Kapan pun masanya, dimana pun tempatnya, bila dia dekat denganku, itulah perkara paling bahagia. Disaat sepi dia tiba walau dengan muka mencuka, dan kerana kehadiranku dia kembali mekar, itulah yang membuatku paling bahagia kerana dapat membuat manusia yang paling aku cinta, mengukir senyum kembali. Seakan aku manusia yang paling berjaya membuat dia gelak halus dan senang hati.

Namun, perkara yang paling bahagia selalunya adalah perkara yang membuat aku runsing dan rusuh melulu. Malah perkara yang paling bahagia selalunya membuatku alpa bahawa dia bisa menjauh lalu membuatku patah dan hancur. Apabila dia memutuskan untuk meninggalkan aku tanpa kata putus dan khabar, malah menonong pergi seperti aku sampah, itulah hari paling gelap dan membuatku seperti lemas dalam lautan luas yang tiada hujung. Gelap, malah gelita. Ya, perkara yang membuat kita paling bahagia selalunya bakal membuatkan kita paling jatuh kerana kebergantungan kasih kita pada dia.

Apabila ada sampai satu masa, ada satu tangan yang menggapaiku pulang ke daratan, dan membuatku manusia yang aku fikir paling bahagia semula, sudut kecilku, jauh nun di dalam sana aku tahu, bukan itu yang membuatku bahagia. Kerana yang selalu membahagiakan aku, adalah apabila aku dekat dengan dia. Bukan dengan yang lain.

Walau ada banyak tangan yang mula menghulur, menawar bahagia, dan aku masih fikir itu membahagiakan aku, aku tahu, bukan itu. Kerana perkara yang paling membahagiakan aku, tetap dia. Dia yang selalu di sisi waktu ku sukar tiada pendapatan, di bawah sinar mentari mobil ku rosak, dan dia dengan senyum bilang tidak mengapa, hal kecil sahaja. Dia yang tidak lokek hulur wang, malah jarang sekali dia bertanya mana budi yang patut ku balas kembali. Dia yang pertama bilang yakin bahawa aku mampu membuat pelbagai perkara dan berjaya, saat aku sendiri meragui diri sendiri, lalu aku pegang kata-katanya dan buktikan pada dunia, aku mampu berjaya seperti dia yakini.

Malah yang bisa membuatku bercerita panjang perihal peribadi, yang tidak pernah aku kongsi pada sesiapa - itu dia. Dia membuatku percaya, harapan masih ada. Cinta itu wujud walaupun sakit - dan itu membuatku paling bahagia. Asal ada dia.

Oleh kerana itu, jika satu masa dia tiba kembali, menagih kasih seperti Hayati yang membuang Zainuddin demi Aziz, aku selalu membuka tangan luas, seluas-luasnya buat dia. Aku bukan Zainuddin yang pasti, kerana aku tidak mahu menyesal di kemudian hari, meratap tubuh dia yang sudah kujur dan tidak akan kembali lagi setelah itu.

Aku selalu bahagia jika kita memilih satu sama lain. Di saat suka atau galau, di saat kita di bawah atau di atas. Ketika kau mengetuk pintu pesananku dengan ucapan hai sahaja, aku tahu kita akan memilih sesama kita kerana itu yang membuat aku dan kamu bahagia hingga ke akhirnya. Walau apa pun badai yang datang kembali, aku harap kita masih memilih kita. Walau kita memilih untuk menjauh dan merajuk, aku masih akan bahagia jika kau mengetuk semula pintu kita. 

Aku selalu disini menunggu bahagia. 

Kerana perkara yang paling membahagiakan aku, ialah apabila aku dekat dengan kamu. Kerana itu apabila kau jauh, dan aku tiada sisi kamu, aku selalu meminta Tuhan yang memegang tangan kamu kerana Dia sahaja yang akan setia di samping kamu.


The Kiss Canvas by Gustav Klimt


Comments

Popular Posts