She just insecure.
Aku cari Jihan di setiap bilik dan ceruk pejabat. Terkejut aku bila terdengar dia menelefon ku dengan esak tangis dan suaranya yang sudah serak dan tidak boleh didengar. Terfikir juga aku kenapa dia menangis, sebab dia jarang sekali menangis. Di hadapan ku, biasanya dia ketawa dan gembira. Jadi aku mahu tahu, apa penyebabnya dia menangis seperti itu.
Aku buka satu-satu pintu di bangunan itu. Peluh ku juga sudah membasahi kemeja biru yang ku pakai dari pagi tadi. Tangan kiri cuba menelefon semula Jihan, tetapi panggilan tidak dapat disambungkan. Aku berdoa banyak-banyak dia baik-baik sahaja. Aku harap dia tidak apa-apa.
"Jihan!", aku jerit namanya. Jam sudah menunjukkan jam 8 malam. Dia menelefon ku sekitar jam 7 tadi. Aku mahu sahaja membebel ketika namanya tertera di skrin telefon tadi. Berpuluh mesej ku tidak dibalas dari pagi tadi. Dan tiba-tiba sahaja dia menelefon ku. Tetapi setelah mendengar esakannya, aku terdiam. Suaranya tersedu-sedan.
"Fariz..", dia bersuara dengan tangisan. Aku terus mematikan hasrat untuk berleter. Dahi ku berkerut dan aku terdiam. "Fariz..tolong aku weh..", dia menyambung. Esakannya cuba ditahan tetapi makin kuat.
"Jihan", aku bersuara perlahan, menenangkan dia. "Kau kat mana?".
"Aku.."menangis lagi. Suaranya tersekat. "Aku kat office lagi".
"Takpe, aku datang sana. Jangan pergi.." panggilan terputus. "Helo! Jihan!", aku terkejut dan suara ku tiba-tiba tinggi. "Jihan!". Aku terus bangun dan mencapai sweater yang sentiasa aku bawa ke mana-mana, yang ku sidai di kerusi. Aku bawa briefcase dan menyumbat segala barang peribadi yang bersepah atas meja ku ke dalam briefcase tadi.
Aku berlari anak ke tempat parking sambil mencuba untuk menghubungi Jihan lagi. Tiada sambungan. Aku mula risau. Nasib baik sahaja pejabat aku dan Jihan tidak jauh, dan biasanya memang aku dan dia berjumpa setelah habis kerja. Aku pandu laju keluar daripada parking lot setelah menderu enjin X50.
Di dalam kereta, aku masih mencuba menghubunginya, tapi tidak dapat.
*
Aku tiba di pejabatnya. Aku tahu mana satu pejabatnya, walaupun bangunan sudah suram memandangkan jam sudah pukul 8. Nasib baik sahaja pengawal keselamatan mengenal aku dan membenarkan ku masuk tadi.
Jihan tiada di pejabat. Tetapi semua barang-barangnya masih berselerak di atas meja. Aku mendekati meja Jihan perlahan-lahan. Aku teliti barang yang masih ada. Laptopnya masih bernyala. Kunci keretanya juga masih ada. Beg tangannya juga, beg solatnya, juga kasut tumit tinggi yang biasanya dia cabut setelah sampai pejabat. Tetapi, telefonnya tiada. Aku lihat bawah mejanya, tiada apa-apa.
Aku buka pintu-pintu bilik lain. Tiada. Sunyi. Bunyi esakan pun tiada.
"Jihan!", suara ku sahaja yang bergema. Aku ke pantri. Juga kosong. Aku menuju ke tandas.
Lambat-lambat aku mendekati tandas perempuan. Seakan ada bunyi.
"Jihan..?", aku memanggil perlahan-lahan sambil kaki ku melangkah lambat ke dalam dengan pintu yang ku buka sedikit demi sedikit. Esakannya semakin kedengaran.
"Jihan", aku jumpa akhirnya. Aku berdiri belakangnya. Dia tidak menoleh. Jihan terduduk dengan lutut di kepalanya dan wajahnya tersembam di lutut. Esakannya masih kuat dan nafasnya tercungap-cungap. Aku mendekatinya.
"Jihan", aku terus berjalan kearah Jihan dan mendekatinya. Aku mencangkung di hadapannya dan tangisannya masih kuat. Aku bawa tubuh Jihan ke dakapan ku. Dia menangis lagi kuat seperti histeria sedikit. Aku usap belakang badannya. Aku cuba menenangkannya.
"Kenapa weh..", aku melepaskan nafas perlahan sambil mengusap badannya.
Jihan menarik kemeja aku dan menangis tersenggut-senggut. Aku nampak bahunya keatas ke bawah. Badannya menggigil. Aku lihat tangannya terketar-ketar. Aku pegang. Sejuk dan peluhnya juga. "Apa..apa.. sa..salah aku..", suaranya tersekat-sekat dan serak dengan hidungnya yang berair. Aku menarik nafas panjang dan menelan liur. Aku cuba bagi dia tenang dulu.
"I give you one minute, then kita keluar dari sini, kay?", aku bersuara lembut.
Aku dapat rasa badan Jihan sudah sejuk. Dia menghabiskan sisa tangisannya tetapi masih tidak memandang aku. Dia melepaskan tubuhnya dari aku. Matanya kosong, basah dan merah. Bengkak. Mukanya juga. Ketaran badannya masih tersisa, tetapi sudah tidak seperti tadi. Seakan-akan lebam aku lihat. Dia mengemam mulutnya. "Apa salah aku weh kat dia..", masih soalan yang sama tetapi aku masih tak tahu apa yang jadi.
"Siapa dia?", aku tanya lambat-lambat. Jihan mengusap matanya yang berair. Air mata seolah-olah tidak mahu berhenti.
"Dia kata.. a..aku tak habis-habis kacau hidup dia", aku nampak air matanya mengalir laju. Jihan cepat-cepat seka. Aku tahu sudah siapa. Minggu lepas dia ada beritahu, ada satu nombor mengacaunya. Dia telefon Jihan dua tiga kali dan bila diangkat panggilan tersebut, tiada siapa yang bersuara. Jadinya dia block terus. Malas mahu melayan. Tetapi keesokan harinya nombor lain pula yang mengacau. Kali ini bila diangkat, ada orang bersuara. Dia bilang, jangan jadi pengacau. Dan nombor itu juga di block. Tiada sebab Jihan mahu memeningkan kepalanya dengan orang yang tidak dikenali.
Tetapi 2 hari lepas, Jihan menangkap skrin mesej yang masuk ke dalam direct message-nya di Instagram dan menghantarnya kepada aku. Aku terus pandu kereta ku ke apartmentnya yang hanya beberapa blok dari rumahku dan dia tunjuk terus mesej-mesej tersebut dengan tangannya yang terketar-ketar.
Aku lihat pemilik Instagram tersebut - ya, orang yang Jihan pernah ceritakan pada bertahun lalu, aku juga sudah tidak ingat bila. Perempuan yang memusnahkan seluruh belief system Jihan, dan membuat Jihan meringkuk di dalam biliknya hampir 2 minggu. Dan aku yakin, itu adalah perempuan yang sama menyerang Jihan malam ini.
Aku terus tarik tangan kiri Jihan dan memeluknya kuat. Aku tahu dia terkejut. "It's okay, aku kat sini. Dia pengecut. She is insecure".
Jihan menangis lagi. Aku rasa kemeja aku basah. Sudahlah tadi aku berpeluh, kini dengan air mata Jihan pula. Tapi, tidak mengapalah. Aku harap dia baik-baik sahaja.
Jihan tersedu-sedu dan dia seperti menahan sesuatu.
"What?", aku tanya. Aku tahu dia mahu mengatakan sesuatu.
"Dia kata, aku ni memang perempuan yang tak boleh hidup tanpa lelaki". Jihan melepaskan pelukan. Dia bersuara dengan matanya memandang kosong. Aku pandang wajah Jihan dan melepaskan hela panjang.
"She just reflects herself by saying that mean thing to you. She doesn't know to whom she wanna blame, so she throws that at you.", aku tahu benar itu klise. Dan aku tahu, Jihan juga tahu perkara itu. Kata-kata yang semua orang akan bilang untuk menyedapkan hati. Tapi aku mahu Jihan tahu, aku bukan mahu menyedapkan hatinya sahaja. Aku mahu dia tahu, bukan dia yang perempuan itu maksudkan, tapi perempuan itu sendiri.
Jihan senyum segaris. Senyum tidak ikhlas. Dia katup rapat kelopak matanya. Dia seakan mahu melupakan semua benda, tapi aku tahu, itu pastinya tidak mudah. Dia sudah pun punya bekas lama, dan bekas itu dirobek semula.
"You don't need to amend these things now. Now, you have to rest", aku bawa dia keluar daripada tandas. Bau Jihan sudah sebati dengan wangian tandas tersebut. Hmm



Comments
Post a Comment