Intro.

Matisse - Red Room

Jihan meregang-regangkan leher dengan tangan kirinya. Bersungguh benar sehingga tertutup-tutup matanya. Fariz gelak sendiri. Jihan buka matanya dan menjungkit kening kanan. 'Kenapa?'. Fariz menunjukkan lukisan Matisse, Red Room ke Jihan.

"Tengok motif belakang dia tu". Fariz membesarkan gambar di skrinnya. Jihan meneliti. Dahinya berkerut.

Fariz tiba-tiba menegakkan badannya. Tangannya kanan diangkat dan dilambai perlahan. Jihan menoleh. Oh, kawan-kawan mereka sudah sampai. Mereka berjalan kearah meja Jihan dan Fariz di bahagian luar restoran. 

"Woi!", Kamil bersuara dulu dan bersalam dengan Fariz. Di belakangnya ada Fizi, masing-masing masih dengan kemeja dengan lengannya yang sudah dilipat hingga ke siku. Fizi juga bersalam dengan Fariz dan mengambil tempat duduk.

"Teh o satu!", Kamil menjerit. Mamak di dalam restoran membalas dengan menegakkan ibu jarinya sambil menggeleng-geleng. "Fizi, nak apa?".

Fizi senyap sekejap, berfikir. "Teh tarik la."

Jihan menompang dagunya dengan tangan kirinya. Bosan. Fariz memandangnya dengan dahi berkerut. Kamil bertukar pandangan dengan Fizi.

"Korang dua ni, ada pape ke?", Kamil menyoal dengan muka curiga. Fariz terus ketawa. Jihan menggeleng laju. 

"Aku? Fariz? Kitorang tak boleh do...", Jihan gelak juga sambil membetulkan selendangnya yang sudah menampakkan sedikit leher. Tangannya menolak-nolak anak rambut masuk ke dalam selendang. "Kitorang kalau ada pape, takde dah jumpa korang ni".

Fizi mencemikkan mulutnya. Ya ya je lah budak dua orang ni. Tahu-tahu bagi kad jemputan. Fizi mengomel sendiri. 

"Ni, mana Iman? Bukan korang selalu gerak sekali?", Fariz mengubah topik dengan sisa ketawa tadi semakin hilang. Pelayan restoran datang dengan air di dulang dan diagihkan kepada mereka.

"Thanks!", Jihan mengenyitkan matanya dan dibalas kenyitan mata juga daripada pelayan lelaki tadi. Jihan terus menyedut air milonya.

"Iman kata dia gerak sendiri sebab dia maybe lambat sikit. Dia hantar makwe dia balik dulu kot", Kamil membalas soalan Fariz tadi. Masing-masing mengangguk dengan Jihan mengangakan mulutnya semasa mengangguk. Faham benar dengan rutin Iman pada Jumaat malam, dia biasanya menghantar teman wanitanya ke stesen bas untuk pulang ke Melaka. 

"Awek dia tak pernah kan, nak lepak dengan kita?", Fizi pula bersuara. Mulalah sesi 'membawang' mereka. Malam minggu memang masa untuk mereka berlima bersantai di restoran mamak sebelah stadium. Mereka berkawan rapat sejak berjumpa di program sukarelawan di Sabah. Tidak sangka, datang untuk berbakti, pulang membawa talian utuh antara mereka.

Fariz dan Jihan memang sudah berkawan lama, sejak dari zaman sekolah lagi, dan keduanya memang berminat menjadi sukarelawan diluar medan kuliah dan kini, di luar tempat kerja. Mungkin kerana mempunyai minat yang sama, Fariz dan Jihan bersahabat sehingga kini, walaupun tidak belajar di kampus yang sama dan kini bekerja di tempat yang sama. Cuma takdir mereka ialah, walaupun tidak bekerja di tempat sama, jarak pejabat masing-masing tidaklah jauh mana. Lebih-lebih lagi mereka mempunyai kenderaan sendiri. Dan tempat tinggal mereka juga dekat. Telefon sahaja, mereka akan luangkan masa.

Fizi dan Kamil pula ialah rakan sejawat dan teman serumah memandangkan keduanya masih bujang. Jadi memang sentiasa ada masa untuk melepak. Iman pula teman serumah Fizi dan Kamil. Antara mereka berlima, Iman sahaja yang mempunyai teman istimewa. Fizi sudah melabel diri sendiri 'gagalis' selepas berpuluh kali gagal dalam percintaan, tetapi dia masih berusaha mencari lagi. Rasanya sekarang pun dia ada seseorang yang menemani, tetapi dia lebih komited dengan kawan. Kamil pula, bertentangan dengan Fizi. Dia tidak pernah bercinta dan antara mereka berlima, memang selalu digelar ustaz, walaupun perangai membawangnya lebih teruk daripada yang lain.

Dia pernah merisik Jihan, satu-satunya perempuan di dalam kumpulan mereka, selepas dia putus cinta. Tetapi Jihan masih belum membuka hati. Walaupun mereka selalu mengacau Jihan dan Fariz, Kamil selalu rasa dia tidak rugi kalau mencuba. Dan dia masih ingin mencuba lagi nanti selepas Jihan membuka hati. 

Jihan pula, sudah dua tahun membujang, putus cinta selepas enam tahun percintaan. Dua bulan lepas Kamil kecewa sekejap selepas mendapat tahu Jihan ada pengganti, padahal dia menolak Kamil sebelum itu. Tetapi sekejap sahaja hubungan mereka sebab Jihan hanya memerlukan 'rebound partner'. Kesian juga mamat tu sebab dia memang suka Jihan. Tetapi hati orang, kan. Mana boleh nak paksa. Selepas peristiwa itu, Fariz berleter panjang dekat Jihan sebab buat macam tu dekat anak orang. Kamil pula bersyukur Jihan menolak cintanya dulu.

Fariz pula pernah bercinta semasa zaman belajar dulu tetapi jodoh tidak kesampaian. Dua tahun sahaja hubungan mereka, kemudian putus. Semasa Fariz putus cinta, Jihan yang menemainya, walaupun teman lelaki Jihan tidak suka Jihan selalu dengan Fariz. Tiga bulan selepas itu, Jihan pula yang putus. Mungkin itu sebabnya, walaupun Jihan selalu bilang pakwenya sudah ada perempuan lain. Tapi semua tahu, Jihan ni kaki gebang juga. Walaupun Jihan dah hampir dua tahun putus cinta, dia lebih memilih untuk membujang.

Kawan-kawannya juga bersyukur Jihan membujang, sebab kalau dia sudah ada teman lelaki, tiada siapa tahu Jihan akan memberi masa atau tidak untuk berkumpul seperti ini. 

*

"Jihan, kau ok tak lepas kena serang haritu? Senyap je masa kitorang tanya masa tu", Fizi menyoal dengan mulutnya ada sisa makanan yang dikunyah. Jihan pandang Fizi tetapi tidak menjawab terus. Fariz pandang Jihan, dan Kamil memandang Fariz. Kamil tahu Fariz menyimpan rahsia Jihan dan kalau boleh dia tidak mahu Jihan menjawab soalan Fizi. Kamil membalas.

"Ok la tu dia senyap. Kalau dia nangis, kau nak pujuk?".

Jihan gelak kecil. Muka Fariz lega dan dia menghirup sup ayam dihadapannya.

"Aku selalu pujuk Jihan ye. Haritu dia merengek pasal kerja, siapa yang ada? Aku juga tau." Fizi membalas dengan nada bangganya.  Kamil gelak. Semua pasti pernah melayan rengekan Jihan. Kalau tak sebab kerja, mesti ada sahaja benda dia tidak puas hati.

"Ala, aku pun pernah pujuk Jihan. Pastu awek aku yang merajuk dengan aku", Iman mencelah pula. Masing-masing gelak. Jihan selalu risau kalau teman wanita Iman tidak suka pada dia, memandangkan dia satu-satunya perempuan di dalam kumpulan itu. Lebih-lebih lagi teman wanita Iman, Julia sangat keperempuanan. Tidak seperti Jihan. Tetapi mereka selalu meyakinkan Jihan yang persahabatan mereka tidak pernah melanggar hukum dan norma masyarakat. 

"Ha, sebab kau bercakap pasal awek kau merajuk, kenapa ea, awek kau tak pernah nak join kita? Kan ada Jihan", Fizi beralih ke soalan lain. Iman menghabiskan makanan di dalam mulutnya.

"Macam mana dia nak join? Kita semua lepak malam minggu, takpun weekend. Dia kan balik Melaka". Mudah sahaja jawapan Iman. Fizi angguk, walaupun dia tidak mahu jawapan itu.

"Kau, Fizi? Bila nak kenalkan makwe baru kau?", Iman mengalihkan soalan pada Fizi. Fizi senyum segaris dan menyandarkan badannya ke kerusi. Kakinya disilang.

"Bila tiba masanya..."

Semua gelak. "Ala kau. Tahu-tahu dah show off dekat IG". Jihan membalas. Masing-masing masak sangat dengan perangai masing-masing. Kelima-lima mereka mempunyai perilaku yang berbeza, namun yang menariknya, walaupun mereka lain diluar, bila berjumpa mereka hanyalah seorang manusia biasa yang tidak jauh beza dengan teman-teman lain. Iman mungkin berjawatan lebih tinggi antara mereka, perwatakannya agak pendiam bila di pejabat, tetapi bila berjumpa teman-teman, dia sama sahaja membawang seperti yang lain.

Mungkin kerana minat dan keunikan masing-masing, dan sifat keterbukaan mereka antara satu sama lain membuatkan persahabatan mereka lebih kuat. Lebih-lebih lagi selepas berada dalam alam pekerjaan, di mana teman-teman sekuliah sudah jauh, kumpulan inilah yang menjadikan mereka seperti keluar daripada dunia kesibukan kepada dunia yang lebih bersahaja.

Comments

Popular Posts