Khabar Baru (1)

Claude Monet - Water lilies

Jihan menekan butang lif ke bawah. Dia menunggu lif tiba. Jihan terlihat ada satu lukisan di dinding bersebelahan dengan pintu kaca dibelakangnya. Dia mengeluarkan telefonnya. Dibuka kamera dan diambil gambarnya. 'Ni kalau bagi Fariz, mesti dia tahu siapa pelukisnya'. Telefon tadi dimasukkan di dalam beg tangannya. 

Urusannya di pejabat tanah sudah selesai dan sekarang dia akan ke majlis perbandaran pula untuk menyelesaikan urusan lain. Tapak kakinya digerak-gerakkan untuk menghilangkan bosan sementara menunggu lif tiba.

Ting!

Jihan menegakkan badannya selepas lif berbunyi di arasnya. Pintu lif terbuka. 

"Eh?", orang di dalam lif tersebut bersuara dengan nada terkejut apabila terlihat Jihan. Jihan membuntangkan matanya dan teragak-agak untuk senyum sebelum memberikan senyum lebar. Jihan juga terkesima sebentar melihat lelaki di hadapannya.

"Buat apa kat sini, Jihan?"

Jihan senyum sekejap sebelum membalas. Lif tertutup selepas lelaki tadi keluar, dan Jihan tidak masuk.

"Saya ada urusan dengan pegawai kat sini. Pakcik?".

"Ohhhh..", lelaki tadi mengangguk. "Pakcik memang kerja kat sini".

Mata Jihan automatik membulat dengan senyum janggal. "Oh." Itu dahulu yang terkeluar dan Jihan mengangguk lambat. Kepalanya berfikir sekejap. Bukan pakcik ni, kerja kat tempat lain ke, setahu aku. Jihan bermonolog di dalam kepalanya sambil mengingat kembali peristiwa-peristiwa dulu. "Oh......", Jihan mengangguk lagi selepas dia berjaya mendapatkan jawapan di dalam kepalanya. Ya, betullah..Mustaqim pernah cakap. Shut! Aku lupa dah. Jihan gelak sendiri dalam kepala.

Pakcik Amri senyum sambil mengangguk kepalanya. 

"Maaf pakcik. Banyak benda saya lupa", Jihan senyum kambing. Dia pun baru teringat nama pakcik di hadapannya. 

"Takpe, lagipun kamu ada banyak benda kena fikir".

Jihan angguk laju. Lidahnya kelu dan otaknya kaku. Dia memang ada masalah untuk berdepan dengan orang yang dia tidak berapa rapat dan membuat "small talk". Memang biasanya dia hanya mengangguk dan senyum. Otak Jihan ligat berfikir untuk bertanya apa lagi memandangkan pertemuan ini tidak dijangka sama sekali. Jadi dia tidak bersedia.

Pakcik Amri memecahkan sunyi. "Kamu dah kahwin ke?"

Jihan sekali lagi terpana. Haha, soalan.. Kemudian baru Jihan teringat jarinya tersarung cincin.

"Belum..", Jihan menggelengkan kepalanya sambil menggosok jari-jemari di tangan kirinya. "Ini Pandora je pakcik, buat hiasan kat tangan". 

Pakcik Amri angguk-angguk. "Hm, pakcik tak tahu kalau kamu dah tahu, atau kamu dan Mustaqim masih berhubung..", Pakcik Amri berhenti sebentar. Jihan tiba-tiba sahaja berdebar. Jihan menggosok-gosok tangannya.

"Bulan depan Mustaqim nikah".

Mata Jihan terkebil-kebil dan dahinya berkerut keatas. Muka Jihan semacam sejuk. Shut. Jangan terkejut sekarang. Jihan memberi arahan kepada dirinya. Jihan angguk lambat-lambat. "Aaa...". Itu je aku boleh balas..? Cepat respon benda lain! Jihan memarahi dirinya yang tiba-tiba terbawa emosi. "Hm..tahniah pakcik, nak sambut menantu dah. Haha". Jihan senyum. Dia sangat berharap senyumannya terlihat ikhlas.

Pakcik Amri senyum dan memandang ke kakinya sekejap sebelum memandang Jihan semula. "Terima kasih. Pakcik harap Jihan pun dijodohkan dengan orang yang baik-baik juga nanti".

Jihan angguk. Senyum sudah hilang sedikit. "Amin, terima kasih doakan. Tapi saya ni, hm tak tahulah, pakcik. Busy sikit, tak sempat pun nak cari". Jihan gelak sedikit sambil membetulkan selendangnya. Mesti pakcik ni bersyukur gila bukan aku jadi menantu dia. Fikiran Jihan menerawang supaya dia pun dia terbawa emosi.

"Ada tu yang nak kamu, jangan risau". Kedua-duanya mengangguk. Klise sangat, fikir Jihan sambil tergelak sendiri di dalam kepala. "Pakcik tak ada kad jemputan pulak nak kasi.."

"Eh, takpe pakcik. Awkward pula kalau saya datang". Jihan memotong laju. Dia kalau boleh tidak mahu dijemput pun. Khabar ini pun sudah mengejutkan dia, apatah lagi kalau dia bertandang ke majlis bekas teman lelakinya nanti. 

"Pakcik memang nak jemput pun, dah alang-alang terbagitahu kamu ni. Nanti pakcik mesej kamu ya".

Jihan angguk. Dia boleh lihat Pakcik Amri sangat ikhlas untuk menjemputnya. Tetapi, dia sebolehnya tidak mahu tahu apa-apa maklumat lain. Dengan siapa dia kahwin - adakah dengan perempuan yang menyerangnya ke? Atau di mana mereka bernikah nanti, bakal isterinya orang mana - dia tidak mahu tahu. Cukuplah luka yang merobek hatinya tempoh hari kerana perempuan itu menyerangnya. Khabar ini juga, tidak dinafikan mengejutkan, dan, mungkin dia tiada hak untuk sakit. Jihan tahu, mukanya mungkin nampak biasa, tetapi hatinya sudah berkocak kuat dan tidak mahu lagi disitu.

"In sha Allah, kalau saya lapang, saya datang. Hm..saya dah lambat ni pakcik. Saya gerak dulu ye." Jihan mengangkat kaki dahulu sambil tersenyum. Dia tidak mahu menunggu lagi lif dihadapannya. Jika dia menunggu disitu, dia harus berbual lagi dengan Pakcik Amri, dan itu akan menambah sebal di dalam hatinya.

"Hati-hati ye Jihan."

*

Fariz dihujung talian mengerut dahinya. Sudah empat kali dia cuba menelefon Jihan, tetapi panggilannya tidak dijawab. Dia mula risau. Takut kejadian beberapa hari lalu terjadi lagi. Jam tangannya dilihat. Sudah jam 6.30 petang. Biasanya dia sudah habis kerja. Fariz menyandarkan badannya ke kerusi kereta. 

Ting! Bunyi mesej masuk. Dilihat dari skrin. Fizi. Fariz kecewa. Dia berharap Jihan. Mungkin suruh Fizi pulak call Jihan.

Fariz menghantar mesej terus kepada Fizi. Dia menghidupkan enjin dan beberapa saat kemudian dia memandu keluar dari parkir.

*

"Jihan!". Jihan menoleh. Dia senyum dan melambai tangannya ke Fizi. 

"Kau okey tak weh?", Fizi terus duduk di hadapan Jihan. Jihan senyum segaris. "Fariz risau gila kau tak angkat call."

Jihan angguk. "Aku dah tak nak risaukan Fariz. Kalau aku cerita benda ni dekat dia, mesti dia risau tiap kali aku pergi pejabat tanah tu. Padahal aku ok je,". Jihan memusing-musing straw di hadapannya.

"Betul ke kau ok?"

Jihan angguk lambat-lambat.

"Kalau kau ok, kenapa kau tak nak cerita terus kat Fariz?"

"Kau kenalkan Fariz macam mana. Nanti aku cerita juga dengan semua. Aku just nak orang yang tak comfort kan aku je sekarang. Yang boleh cerita pasal masalah dia, instead of dengar masalah aku."

Fizi mengerutkan dahinya. "Aku suka cerita masalah ke kat korang?". 

Jihan memandang Fizi serius. "La, kau tak tahu ke?". Jihan gelak.

"Ohhhh korang semua mengumpat aku kat belakang,".

"Yah, just like you don't!" Jihan masih gelak. Fizi angguk kepalanya. Ya, masing-masing mengumpat sesama sendiri. Benda tersebut normal. Lambat-laun mereka semua kena tahu juga kelemahan diri sendiri.

"So, bila nak bawa jumpa makwe baru? We need to verify," Jihan gelak sambil mengubah topik. Fizi menggeleng kepalanya.

"You guys have no right to judge."

Jihan gelak. Memang selama ni, dia juga yang bertanya kepada kawan-kawannya, teman wanita yang baru dibawanya itu, baik ke tidak. Boleh masuk dengan kumpulan mereka atau tidak. Fizi sendiri selalu rasa ada sahaja yang tidak kena dengan teman-teman wanitanya. Padahal setiap kali dia bawa berjumpa teman-teman lain, semuanya menyokong sahaja.

"Ok. Tengoklah nanti. Ni, kau nak makan apa?".

Fizi meneliti menu. "Nasi goreng kampung je la". Jihan memanggil pelayan untuk menambah pesanan. Fizi memandang Jihan. Wajahnya diteliti. Ketara benar yang dia menangis teruk sebelum ini. Maskaranya sudah disapu bersih dari mata, dan pipinya juga merah.

"Jumaat ni, kau ada plan apa-apa ke?", Fizi menyoal selepas pelayan tadi berlalu. Jihan menggeleng.

"Jom kita semua panjat bukit.".

Jihan terus terbeliak teruja. "Jom...."




Comments

Popular Posts