N.R.I.C

Wart. Itu nama dia. Kami satu kelas dan dia duduk di sebelah aku. Dia biasa sahaja. Lebih tua dari aku. Tidak tahu berapa tahun. Mungkin setahun. Mungkin dua? Atau sepuluh tahun lagi tua dariku? Tidak pula aku tahu. Berkaca mata tebal ala-ala 80-an. Berkemeja sentiasa dan memakai selipar jepun. Rambutnya sedikit panjang melepasi bahu dan memakai seluar jeans yang lebar pada bahagian bawahnya. Ya. Dia langsung tidak up-to-date. Atau bahasa ringkasnya pelik. Dia selalu dengan dunia dia dan aku kerap mendengar dia berbicara sendiri, seakan ada seseorang di sebelahnya. Walaupun pada hakikat, sebelahnya hanyalah dinding putih. 

Dia begitu. Tapi dia baik sahaja. Ada juga berborak dengannya. Dia suka bercerita dan aku suka mendengarnya. Dirinya agak aneh. Mungkin pada penampilannya - atas formal bawah biasa, juga pada latar belakang dirinya. Selain namanya yang aku perkenalkan tadi, dia ada satu lagi nama. Ya. Semua orang ada beribu nama, tapi dia memiliki dua nama. Yang berdaftar. 

Ya. Dia ada dua kad pengenalan. Satu bernama Wart itu. Dan satu lagi bernama Mulan. Yang Wart itu, didaftarkan pada tahun pertama dia dilahirkan. Mulan pula pada tahun berikutnya. Berkerut juga aku mendengar cerita dia dan fikir dia sedang memperdayakan aku. Mana ada orang mendaftar bayi yang sama dua kali. Dia menunjukkan kedua-dua kad pengenalannya kepadaku. Ya. Benar. Dia ada dua kad pengenalan. Muka yang serupa namun identiti yang berbeza. wow. Aneh. Lalu aku bertanya bagaimana ia bisa terjadi. Dia memberitahu aku, ibunya seorang alzheimer - hilang ingatan. Alzheimer yang agak teruk juga. Si ibu menghidap penyakit itu mulai umurnya 18 tahun. Dahulu, ibunya akan hilang ingatan dua tahun sekali. Dan seiring dengan usianya yang semakin meningkat, dia hilang ingatan setahun sekali - dan ketika Wart dilahirkan. Tahun pertama dia lahir, ibunya mendaftarkannya seperti ibu-ibu lain. Namun pada tahun berikutnya, si ibu hilang ingatan kembali dan mendaftarkan Wart dengan nama yang lain - Mulan. ' Bagaimana bisa begitu? Habis mengapa tahun ketiga kelahiran kau, ibumu tidak mendaftarkanmu lagi? ' soalku. Aneh benar. Wart gelak. Si ibu meninggal ketika dia tiga tahun. Dan kemudiannya dia dijaga oleh seorang nenek tua yang bukan darah dagingnya. Nenek yang amat jujur dan lurus. Dia menyimpan semua dokumen Wart tanpa mengubah apa pun termasuk la mengenai dua sijil kelahirannya.

Dan. Bagaimana perihal bapanya soalku lagi. Dia tiada bapa. Samada dia tercipta sebelum kahwin atau bapanya hilang atau si ayah sudah mati sebelum kelahirannya. Dia sendiri tidak pasti. Yang penting, si nenek tua hanya bercerita pasal ibunya sahaja. Dan dia juga tidak mahu mengenali bapanya. Apatah lagi mahu mencarinya. Fikirnya, buat apa ingin mencari orang yang tidak pernah dia kenali dan tidak juga mencarinya? 

Dan dia juga selalu menceritakan padaku, bagaimana dia memanfaatkan hidup dengan dua identiti itu. Dia mengambil dua kali SPM. Pada tahun pertama, dia gagal. Padanya gagal walaupun dia kisahkan padaku, dia memperoleh 6 kredit. Sama seperti aku. Kerana dia tidak puas hati, dia menggunakan satu lagi kad pengenalannya dan mendaftar sebagai Mulan. Gigihnya dia kerana ingin menebus kembali keputusan yang lalu. Dan akhirnya dia berjaya dengan warna terbang. Dia memperoleh 10 kredit. Dengan keputusan barunya itu, dia mendaftarkan dirinya untuk belajar di peringkat yang lebih tinggi. Namun, rezeki tidak menyebelahinya. Walaupun dengan SPM 10 kreditnya itu, dia tidak mampu memasukkan dirinya di dalam kalangan orang-orang yang berjaya. Lalu dia mencuba dengan keputusan pertamanya. Tup tup. Dia terpilih. Sedikit aneh baginya. 

Mulan yang mendapat keputusan lebih bagus dari Wart, tidak berjaya ke institut pengajian tinggi. Wart, yang keputusannya sekadar cukup makan sahaja bisa menempatkan diri di tempat lebih bagus. Aneh baginya. 

Dan kerana itu, yang di hadapanku ini ialah Wart. Bukan Mulan.


siapapun dia;

Comments

Popular Posts